Wednesday 5 October 2011

Western Australia ;)

Indian Ocean Drive, Western Australia

Perth – Geraldton – Carnarvon – Exmouth – Coral Bay – Monkey Mia – Shark Bay – Kalbarri - Perth
10 hari/2,800km

Jelajahi jaluran pantai putih bersih, terumbu karang, pekan nelayan yang damai, dan taman negara yang lasak dalam perjalanan hebat dan menakjubkan sepanjang Coral Coast (Pantai Karang), Australia Barat.  Menghala ke utara untuk menikmati udang krai (crayfish) segar di Geraldton dan buah-buahan tropika yang lazat di Carnarvon.  Berenang dengan yu paus besar di Ningaloo Reef (Terumbu Ningaloo) dan naiki pemacu empat roda melalui ngarai di Taman Negara Cape Range yang berhampiran.  Dalam perjalanan kembali melalui pantai, temui ikan lumba-lumba di Monkey Mia, serta ikan paus, pari kola, penyu, jerung, dugong dan ikan di Kawasan Warisan Dunia Shark Bay yang lebih luas.  Saksikan bunga-bunga liar bermusim mempamerkan citra warna mereka yang terang sepanjang pantai, dari Cape Range ke cenuram dan gaung di Taman Negara Kalbarri.
Geraldton, WA
Geraldton, WA

Hari 1: Perth – Geraldton

Perjalanan ke Lebuh Raya Brand Highway mengambil masa lima jam, dan antara bulan Jun dan November ia dihiasi perarakan bunga-bunga liar yang berwarna warni.  Citra warnanya yang mewah menjadi santapan mata di Taman Negara Badgingarra, yang terletak hanya bersebelahan lebuh raya ini, setelah separuh perjalanan.  Bersiar-siar menjejaki Badgingarra Nature Trail (Laluan Alam Semula Jadi Badgingarra) melewati bunga-bunga kangaroo paw berwarna hitam dan merah, banksia, starflower dan mottlecash – yang merupakan bunga kayu putih terbesar di dunia.  Terus berjalan menuju utara ke pekan pantai berkembar Dongara – Denison, dan di sini anda boleh memancing, merasai wain tempatan dan makanan laut segar atau berenang dari pantai putih bersih yang terlindung.   Ikuti laluan warisan di sepanjang Sungai Irwin yang menyambungkan dua pekan ini, berhenti seketika untuk melihat Kotej Ruzz zaman 1860an  dan Balai Polis Lama yang kini dijadikan Muzium.  Saksikan dedahan pokok kayu putih melentok liuk ibarat ahli akrobatik, serta tinggalan kediaman, gereja dan sekolah di pekan warisan Greenough Hamlet.  Tiba di Geraldton, di Champion Bay, tepat pada masanya untuk melabuhkan diri ke dalam laut untuk sesi renang dan menikmati udang galah batu tempatan untuk makan malam.
Kunjungi Tugu Peringatan HMAS, Geraldton, WA
Kunjungi Tugu Peringatan HMAS, Geraldton, WA

Hari 2: Geraldton – Carnarvon

Kunjungi Tugu Peringatan HMAS, yang berhadapan dengan lautan yang telah meragut nyawa 645 kelasi kapal.  Kemudian mula memandu selama lima jam ke utara, merentasi Sungai Murchison dan melewati Taman Negara Kalbarri di sebelah timur dan Cagar Alam Toolonga di sebelah barat.  Teruskan melepasi tempat perlindungan ikan lelumba di Monkey Mia ke Carnarvon, tempat ladang pisang, mangga dan papaya yang tumbuh mewah di atas tanah subur sekitar Sungai Gascoyne.  Kunjungi ladang atau beli hasil yang baru dipetik dari pokok dari Carnarvon Growers Market (Pasar Tani Carnarvon).  Bersiar-siar sepanjang Fascine yang dihiasi deretan pohon palma dan berkelah dengan sebakul udang tempatan di pantai.  Memancing dari One Mile Jetty (Jeti Sebatu) yang bersejarah, sebahagian daripada presin warisan pekan ini.  Berenang di kolam-kolam Rocky Pool dan Chinaman’s Pool yang berhampiran dan pandu 70km ke utara untuk tiba di lubang hembus Carnarvon, di mana air lautan memancut dari bumi sehingga setinggi 20m.  Snorkel di lagun berhampiran yang dihiasi karang dan berkhemah berbumbungkan bintang atau menghala kembali ke Carnarvon jika anda lebih suka tidur di atas katil yang selesa.
Taman Marin Ningaloo, WA
Taman Marin Ningaloo, WA

Hari 3: Carnarvon – Exmouth

Perjalanan ke utara ke Exmouth mengambil masa empat jam setengah dengan memandu kereta. Ia terletak di antara kemerahan cenuram merah Taman Negara Cape Range dan kebiruan hening Taman Marin Ningaloo.  Menuju ke pantai, di mana anda hanya perlu berjalan beberapa meter untuk mendapati ikan tropika dan karang berwarna warni di Terumbu Ningaloo.  Pergi bersnorkel atau merenung ke dalam suasana bawah laut yang begitu ajaib daripada bot dengan dasar kaca.  Di antara April dan Jun anda boleh berenang dengan ikan terbesar di dunia, iaitu yu paus yang mesra.  Tinjau kumpulan pari kola dari Mei hingga November serta paus kelasa yang berhijrah dari bulan Julai hingga November.   Selesainya bulan penuh pada bulan Mac dan April, oleh sebab sebahagian besar ikan mula bertelur anda mungkin dapat melihat air laut bertukar menjadi merah jambu.  Sertai pengembaraan memancing yang disewa khas atau berkayak melewati ikan lelumba, penyu dan dugong.  Menjelang petang, makan malam di marina perahu layar, tempat kafe, restoran, butik dan bar wain membarisi terusan-terusan.
Sandy Bay, Exmouth, WA
Sandy Bay, Exmouth, WA

Hari 4: Exmouth - Coral Bay

Luangkan setengah hari untuk bersantai di pantai Exmouth atau terokai landskap berceranggah Taman Negara Cape Range yang dimamah cuaca.  Susuri jalan berliku dengan pacuan empat roda untuk ke puncak ngarai Shothole dan Charles Knife, di mana anda akan terpegun dengan pemandangannya.  Dari ngarai Charles Knife, anda boleh meninjau melepasi ngarai kemerahan ke kawasan pedalaman dan keheningan laut biru di Exmouth Gulf.  Mengembara berjalan kaki sejauh 5km di antara dua ngarai dan terokai rangkaian gua dan terowong tersembunyi di bawah penara berbatu batan (rocky plateau).  Berjalan ke puncak Yardie Creek, dan tinjau walabi batu berkaki hitam (black-footed rock wallaby) yang sukar ditemui dalam tembok merah gaung tersebut.  Atau belayar melalui gaung, sambil menghirup udara nyaman dan pemandangan indah kawasan pedalaman.  Intip burung laut dan peranduk air di belakang tempat hendap di Mangrove Bay atau hampiri pelbagai hidupan mergastua semasa berjalan di laluan bushwalk di Mandu Mandu Gorge.  Menjelang tengah hari, pandu ke Coral Bay di selatan, dan anda boleh berenang dan bersnorkel di hujung selatan Taman Marin Ningaloo.
Hamelin Pool, WA
Hamelin Pool, WA

Hari 5: Coral Bay – Shark Bay

Pastikan anda menyegarkan diri dengan berenang sebelum memandu tujuh jam lagi ke Kawasan Warisan Dunia Shark Bay, di mana anda akan menghabiskan tiga hari untuk bertualang di sini.  Belok keluar dari lebuh raya di jalan masuk ke Semenanjung Peron untuk melihat Kolam Hamelin, salah satu daripada dua tempat di bumi ini yang masih wujud stromatolit hidup.  Kubah batu (rock domes) – yang kelihatan seperti batu tongkol dalam cerita Cocoon – telah dibina oleh mikrob hidup yang wujud di bumi  3,500 juta tahun yang lampau.  Memandu sedikit lagi ke hadapan ke Pantai Shell , yang terbina daripada berbilion cangkerang halus dan bukan pasir.  Pantai ini mengunjur sejauh lebih 100 kilometer, dengan cangkerang di antara tujuh hingga sepuluh meter dalamnya.  Suatu masa dahulu, cangkerang ini dimampatkan dan dipotong menjadi bata untuk dibuat bangunan di Denham yang berhampiran, dahulunya pelabuhan membuat mutiara dan pekan utama Shark Bay.  Segarkan diri anda setelah memandu begitu jauh dengan berenang di salah sebuah pantai terlindung, dan seterusnya nikmati makanan laut segar di restoran di sana.
Monkey Mia, WA
Monkey Mia, WA

Hari 6: Monkey Mia

Kunjungi pusat lumba-lumba Denham sebelum terus memandu 30 minit lagi ke Monkey Mia untuk bersua muka dengannya.  Kawasan ini terkenal dengan lelumba muncung botol yang setelah sekian lama diberi makan oleh nelayan setempat, mula berenang ke pantai untuk bermesra dengan manusia.  Beri makan atau berenang bersama haiwan ini dalam perairan biru jernih di sini.  Di samping lelumba, Shark Bay juga didiami oleh ikan paus, pari kola, penyu, jerung, pelbagai jenis ikan dan sepuluh peratus daripada dugong yang masih wujud di dunia.  Hampiri sesetengah hidupan liar dari kayak atau bot berdasar kaca.   Snorkel, belajar untuk selam skuba atau tunggang unta sepanjang Pantai Dolphin (Pantai Lelumba) ini.  Saksikan ikan jerung bermusim berenang-renang atau burung undan makan dari kapal persiaran.   Memancing ikan whiting, kod, jenahar, makerel dan tuna dan pelajari mengenai bekalan makanan pendalam atau bush tucker daripada pemandu Malgana setempat.  Menjelang petang, dengari ceramah oleh saintis haiwan residen atau nikmati keindahan matahari terbenam di atas kapal layar.
Ocean Park, Denham, WA
Ocean Park, Denham, WA

Hari 7: Shark Bay

Memandu ke taman marin yang luas di selatan Denham, yang mempamerkan pelbagai hidupan marin yang berwarna-warni  di sini.  Saksikan jerung diberi makan, intai ular laut menggeluncur dan hampiri penyu laut yang baru menetas.  Kemudian, sertai lawatan menaiki pacuan empat roda melalui Taman Negara Francois Peron, di mana gumuk pasir merah kelihatan begitu menonjol dilatari pantai putih bersih dan lautan biru jernih.  Tinjau pari kola, penyu dan jerung di Skipjack Point, memancing di Bottle Bay dan berkayak atau berkanu merentas Big Lagoon.  Bersantai di air panas artois atau lakukan perjalanan bersejarah ‘Station Life’ di Peron Homestead.  Nikmati keluasan dan keindahan kawasan ini dalam penerbangan untuk meninjau pemandangan atau naiki basikal kuad merentasi gumuk pasir dan tanah belukar.  Memandu lebih jauh ke selatan ke kawasan pembiakan dugong di Eagle Bluff, yang dinamakan bersempena helang laut yang bersarang di pulau berbatu batan di luar pesisir pantainya.  Pancing ikan whiting atau belanak untuk makan malam dan kembali ke Denham untuk menikmati sepinggan sajian sotong tempatan.
Kalbarri National Park, WA
Kalbarri National Park, WA

Hari 8: Shark Bay – Kalbarri

Jika anda ada kenderaan pacuan empat roda, beluk ke Steep Point, lokasi paling barat di Australia.  Ia menawarkan kedudukan yang paling hebat untuk melihat  Zuytdorp Cliff (Cenuram Zuytdorp), yang menjulang tinggi ke paras 170m daripada paras laut dan mengunjur sepanjang pantai ke Kalbarri.  Dari sini, anda boleh menaiki bot ke Pulau Dirk Hartog, yang menempatkan cenuram laut yang berceranggah, pantai putih terpencil dan perairan memancing yang bertaraf dunia.  Sekembalinya ke lebuh raya, bersiap sedia untuk memandu selama empat jam ke Kalbarri  sebuah tempat yang terletak di persimpangan Lautan Hindi dengan Sungai Murchison yang berliku.  Berenang atau meluncur air dari Pantai Chinaman atau bersantai dan saksikan burung undan diberi makan di pesisir bawah pantai.  Lihat lelumba bermain riang di teluk dan ikan paus serta anak-anaknya berhijrah dalam musim dingin.   Kunjungi pusat pembiakan burung nuri, bermain ski air atau berkanu menyusur sungai, atau tunggang kuda sepanjang pantai semasa sang suria melabuhkan tirainya.  Makan malam di kafe kecil atau bar pantai sebelum berehat sambil mendengar nyanyian ombak dan hidupan liar hutan belukar.
Kalbarri National Park, WA
Kalbarri National Park, WA

Hari 9: Kalbarri

Habiskan hari anda dengan mengembara berjalan kaki di pedalaman atau bushwalking sambil menikmati landskap Taman Negara Kalbarri yang mengagumkan.   Mengembara berjalan kaki merentas banjaran dan berkanu melewati gaung batu batan berwarna karat yang telah diukir oleh Sungai Murchison.  Antara bulan Julai dan Oktober, landskap ini dihidupkan dengan citra warna spesis 800 bunga liar.   Lihat bunga-bunga banksias, grevilleas, kangaroo paw dan kayu putih dengan kuntuman merah bertaburan di serata lanskap ini.  Perhatikan pemandangan ini dari bingkai batu Natures Window atau dari Z Bend, Hawkes Head Lookout atau Ross Graham Lookout.  Saksikan Sungai Murchison River membentuk bulatan besar di The Loop, satu lagi lokasi sudut pandangan yang hebat.  Tinjau hidupan mergastua yang kaya dan kangaroo kelabu barat serta emu pada waktu siang.  Intai sama ada anda dapat lihat singa laut, ikan lelumba atau ikan paus yang sedang berhijrah dari cenuram tepi pantai seperti Red Bluff dan Pot Alley.  Untuk pandangan dari udara, naiki helikopter melintasi taman, pesisir pantai dan khazanah menyelam di Kepulauan Abrolhos Islands – lebih 120 pulau yang masih belum dicemari manusia di lautan yang seluas lebih 100 km itu.
Taman Negara Nambung, WA
Taman Negara Nambung, WA

Hari 10: Kalbarri – Perth

Memandu ke selatan melalui Geraldton ke pekan udang krai Leeman, di mana anda boleh mengikuti denai yang ditaburi bunga liar di antara Lebuh Raya Brand dan Indian Ocean Drive.  Berhampiran dengan situ, terokai tanah belukar  Taman Negara Lesueur yang kaya dengan flora dan sistem gua yang besar di Taman Negara Stockyard Gully.  Mengembara melalui  Greenhead dan syurga pantai terpencil Taman Rekreasi Sandy Cape hingga Jurien Bay, yang menawarkan pantai putih bersih dan terumbu karang.  Saksikan ikan paus berhijrah sepanjang perairan pantai sebelum memandu melalui Cervantes.  Memandu sepanjang jalan berpemandangan indah melalui Taman Negara Nambung melalui The Pinnacles – beribu-ribu tiang batu batan purba yang menjulang dari padang pasir seperti batu nisan yang dimamah usia.  Ia terbina daripada cengkerang zaman purba apabila pasir di sini masih berada di dasar laut.   Anda mungkin berpeluang menyaksikan sang suria terbenam – antara waktu yang menawarkan pemandangan paling mengagumkan – sebelum memulakan perjalanan kembali ke Perth.

1 comment:

BTS babak Hayfa dicer4ikan Adam, “Hebat g1la dohh Ummi Nazeera”

Hi semua assalamualaikum dan salam sejahtera...wah actualy Nurin cuma nak bagitahu yang nurin tak tgk lagi drama bersiri yang telah amat sia...